Isnin, 26 Oktober 2009

SIRI PANTANG LARANG ORANG MELAYU TRADISIONAL PART 4

Pantang Larang Kanak-Kanak
1. Dilarang duduk atas bantal, nanti punggung terkena bisul.

2. Tak boleh memotong kuku waktu malam, nanti pendek umur.

3. Dilarang bersiul dalam rumah, nanti ular masuk.

4. Tak boleh jelir lidah, nanti lidah terpotong.

5. Makan kepala ikan, nanti menjadi bodoh.

6. Dilarang mengangkat kaki ketika meniarap, nanti emak mati.

7. Tak boleh menunjuk pelangi, nanti jari kudung.

8. Tak boleh makan dalam gelap, dikatakan makan dengan iblis.

9. Dilarang bermain atau keluar rumah waktu senja, nanti disorok hantu.

10. Tak boleh gigit kain, nanti gigi berulat.

11. Hempedal ayam tak boleh dimakan, nanti susah bersunat.

12. Dilarang bercakap dalam tandas, nanti mata ketumbit.

Pantang Larang Di dalam Hutan
1. Jika sesat di hutan, jangan tidur di tepi sungai, nanti dimakan hantu.

2. Dilarang pegang pokok merah, nanti badan menjadi gatal.

3. Jangan tidur di atas pokok jika sesat, nanti dilapah hantu.

4. Dilarang bercakap besar ketika di hutan, nanti mendapat bencana.

5. Pantang bersiul di hutan, nanti disambar langsuir.

6. Jangan melaung di tengah hutan, nanti disahut hantu.

7. Jika terdengar sahutan, jangan dijawab, dikhuatiri suara hantu.

8. Jangan mengambil batu atau benda ganjil di hutan, takut berpenunggu.

9. Dilarang menegur sesuatu yang aneh atau ganjil dihutan, nanti dirasuk atau dapat malang.

Pantang Larang Di Sungai
1. Jika nampak air berpusar, jangan hampiri, alamat buaya bergerak atau mengiring.

2. Jika ikan toman membawa anak, jangan melintas di hadapannya, nanti dilompati ke perut.

3. Jika terdengar suara semacam kerbau di tebing sungai, alamat ada buaya mengawan.

4. Dilarang bawa limau purut, nanti dibaham buaya.

5. Jika suara perempuan terdengar waktu Maghrib, alamat hantu pari sedang berpesta.

6. Jika kail disambar gondang (siput besar) , alamat rezeki mendatang.

Pantang Larang Ketika Duduk

1. Tak boleh duduk atas bantal, nanti dapat bisul.

2. Tak boleh duduk atas tangga ketika Maghrib, nanti dirasuk hantu.

3. Tak boleh menggoyang kaki, nanti tak lepas hutang.

4. Tak boleh duduk di beranda tangga, nanti payah rezeki.

5. Tak boleh duduk atas lesung, nanti berkudis dubur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan